Tinjauan Industri Perbankan Mendapati 4 daripada 5 Pelanggan yang Berjaya Mengelak daripada Ditipu Juga Aktif Membaca Amaran Penipuan 

November 9, 2023

 Penemuan juga mendedahkan bahawa tahap pengetahuan tentang jenis penipuan dan kepuasan hati terhadap usaha kesedaran oleh bank adalah tinggi 

 Kuala Lumpur, 9 November 2023 — Usaha amaran kesedaran penipuan oleh bank telah terbukti berkesan dalam membantu menggagalkan penipuan dan melindungi pelanggan bank, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) untuk mengukur tahap pemahaman dan kesedaran terhadap penipuan di kalangan pelanggan. 

Penemuan daripada tinjauan tersebut menunjukkan terdapat korelasi positif antara pendidikan dengan pencegahan penipuan, di mana empat daripada lima orang pelanggan yang berjaya mengelak penipuan juga aktif membaca amaran penipuan dari bank mereka, memberikan mereka maklumat terkini tentang taktik penipuan terbaharu. 

Tinjauan Persepsi Berkenaan Penipuan Kewangan yang berlangsung mulai Jun hingga Julai 2023 menunjukkan statistik yang menggalakkan tentang tahap pemahaman penipuan responden dan pandangan mereka yang menarik tentang penipuan kewangan. 

Hampir 80% daripada responden percaya bahawa penipuan berlaku disebabkan oleh mangsa secara tidak sengaja mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada penipu dan bukan disebabkan oleh sebarang pelanggaran dalam sistem perbankan 

Lebih separuh daripada responden berasa mampu untuk mengurus dan bertindak mencegah penipuan kewangan. Selain itu, mereka yang sentiasa membaca dan memahami makluman kesedaran penipuan dari bank adalah 15% lebih bersedia untuk melawan penipuan 

Kira-kira 70% daripada responden berpuas hati dengan usaha semasa bank dalam mewujudkan kesedaran tentang penipuan kewangan 

Apabila diminta untuk mengenal pasti jenis dan taktik penipuan, kebanyakan responden berjaya melakukannya, dengan purata skor melebihi 60% untuk 11 jenis penipuan. Ini termasuk modus operandi penipuan popular seperti penipuan melalui telefon dan penipuan perisian hasad. Selain itu, 76% daripada mereka yang ditinjau juga mendedahkan bahawa pencegahan penipuan adalah topik yang paling mereka gemari. 

“Evolusi penipuan memberikan cabaran baharu kepada bank dan pelanggan, kerana penipu sentiasa mengubah taktik manipulasi agar selari dengan trend perbankan atau beli-belah semasa. Sebagai tindak balas kepada cabaran dinamik ini, bank terus menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan kami dengan memperkenalkan langkah keselamatan yang dipertingkatkan secara kerap, di samping melaksanakan kempen kesedaran penipuan nasional untuk mendidik orang ramai,” kata Pengerusi ABM Dato’ Khairussaleh Ramli. 

“Kami tahu daripada tinjauan tersebut bahawa 63% daripada responden mempunyai sejarah berkaitan penipuan kewangan, sama ada pernah menjadi mangsa atau mengenali seseorang yang menjadi mangsa. Ini menunjukkan betapa pentingnya mengambil pendekatan serius 

terhadap pendidikan penipuan – orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak menganggap bahawa mereka tidak akan menjadi sasaran penipu kerana penipuan tidak memilih umur, jantina atau di mana seseorang itu berada. Bank akan terus melengkapkan pelanggan dengan pengetahuan tentang penipuan dan panduan mengatasinya supaya dapat memupuk komuniti perbankan yang lebih berdaya tahan dan diperkasakan terhadap penipuan,” tambahnya. 

Tinjauan menunjukkan bahawa laman web perbankan dalam talian dan pemberitahuan semerta pada aplikasi perbankan mudah alih adalah saluran paling berkesan untuk menyampaikan kesedaran tentang penipuan, berbanding SMS, e-mel dan siaran media sosial. Dengan lebih ramai pelanggan yang menerima pendigitalan dalam kehidupan seharian mereka dan menjadi semakin selesa untuk membuat aktiviti perbankan secara maya, penggunaan melalui saluran ini telah meningkat menjadikan laman web dan aplikasi perbankan pilihan semula jadi untuk menyampaikan mesej penipuan. 

Tinjauan ini telah ditauliahkan oleh industri perbankan dan dikendalikan oleh Rakuten Insights, dan disertai oleh lebih 1,200 orang pelanggan bank. Ia juga telah mengenal pasti bahagian yang berpotensi untuk penambahbaikan bagi bank, terutamanya dalam menyediakan maklumat yang mencukupi kepada segmen pelanggan terpilih yang mungkin tidak mempunyai akses kepada bahan-bahan anti-penipuan, seperti warga emas dan mereka yang kurang arif dengan teknologi. 

Sebagai respons, industri perbankan telah melancarkan kempen kesedaran nasional #JanganKenaScam yang diperbaharui pada Oktober 2023 dengan matlamat untuk memupuk kesedaran penipuan kepada orang ramai dari semua lapisan masyarakat dan memastikan jangkauan pendidikan penipuan yang meluas di kawasan bandar dan pinggir bandar. 

Mulai 15 hingga 19 November 2023, orang ramai boleh mengunjungi #JanganKenaScam Fest di Pusat Beli-belah 1 Utama (LG Oval Concourse) untuk mengambil bahagian dalam aktiviti menarik dan latihan simulasi penipuan untuk mengetahui tentang penipuan dengan cara yang menyeronokkan. Pengunjung yang berjaya melengkapkan semua aktiviti di ruang pameran akan berpeluang memenangi hadiah eksklusif #JanganKenaScam. Para peminat duta jenama Hairul Azreen dan pencipta kandungan seperti Arwind Kumar, Amelia Henderson dan Ceddy juga akan berpeluang untuk bertemu idola mereka dalam sesi temu mesra khas, yang akan dijadualkan pada hari-hari tertentu. 

“Kami menggalakkan orang ramai untuk mengunjungi ruang pameran interaktif bagi mengetahui lebih lanjut mengenai cara penipuan supaya mereka dapat melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada penipu. Melalui aktiviti pendidikan ini, orang ramai boleh bertanya soalan serta mendapatkan penjelasan dan pengetahuan anti-penipuan untuk memerangi penipuan bagi membantu menjaga keselamatan perbankan mereka,” kata Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed. 

Kempen dan pameran #JanganKenaScam bertujuan untuk membantu individu memahami bagaimana mereka boleh mengawasi keselamatan kewangan mereka sendiri. Dengan menyediakan panduan dan petua praktikal, kempen ini memberi kuasa kepada peserta untuk membuat keputusan termaklum dan lebih bersedia untuk melindungi diri mereka daripada ancaman penipuan yang sentiasa wujud. Inisiatif ini menjadi tanda usaha kolektif untuk meningkatkan kesedaran penipuan dan daya tahan dalam komuniti, seterusnya memupuk landskap kewangan yang lebih selamat dan terjamin untuk semua. 

Untuk maklumat lanjut tentang kempen kesedaran #JanganKenaScam dan tarikh acara #JanganKenaScam Fest akan datang, sila layari www.jangankenascam.com. 

ABMConnect | Toll-free on 1300-88-9980

ABMConnect provides an avenue for consumers to clarify any doubts and verify information on conventional banking issues.