Pengarang
Utusan Malaysia
Saudara Pengarang,
Terima kasih kerana memaparkan artikel bertajuk “Bayaran proses cek 1 April” di dalam suratkhabar terbitan Utusan Malaysia pada hari Jumaat, 24 Januari 2014.
Namun begitu, kami ingin memaklumkan bahawa terdapat kesilapan di dalam artikel tersebut seperti berikut:
- Perenggan pertama artikel menyatakan bahawa “…akan mengenakan bayaran pemprosesan cek sebanyak 50 sen ke atas pengeluar cek atau yang menunaikan cek berkuat kuasa 1 April, 2014”. Sebenarnya, bayaran pemprosesan cek hanya akan dikenakan ke atas pengeluar cek (iaitu “issuer or drawer”) dan bukannya ke atas pelanggan yang menunaikan cek.
- Perenggan kedua artikel pula menyatakan bahawa “Justeru, pengeluar atau yang menunaikan cek diingatkan supaya memastikan wang dalam akaun mereka mencukupi bagi menampung bayaran pemprosesan cek…”. Sepertimana yang dijelaskan di atas, hanya pengeluar cek yang akan dikenakan bayaran tersebut dan perlu memastikan bahawa akaun mereka mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung bayaran pemprosesan cek.
Kerjasama dan perhatian Saudara Pengarang dalam memperbetulkan kenyataan-kenyataan tersebut dengan serta-merta adalah amat dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
PERSATUAN BANK-BANK DALAM MALAYSIA (ABM)
Chuah Mei Lin
Pengarah Eksekutif