National Fraud Portal (NFP) terus memperkukuh usaha bersepadu untuk mengekang penipuan kewangan

August 20, 2024
  • NFP akan mempertingkatkan tahap kecekapan masa dan keberkesanan dalam mengesan dana yang dicuri daripada mangsa penipuan
  • Prosedur pelaporan dan pengendalian akaun keldai yang dikeluarkan oleh industri kewangan akan menyelaraskan proses pengenalpastian akaun keldai dan mekanisme pemulihan mangsa akaun keldai

Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), dan institusi kewangan telah melancarkan NFP sebagai platform bersepadu bagi memperkukuh keupayaan operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC). Pelancaran ini telah disempurnakan hari ini oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

NFP mengautomasikan proses NSRC secara keseluruhan daripada pengendalian laporan penipuan sehingga kepada pengesanan dana yang dicuri. Platform bersepadu ini membolehkan:

  1. Pengesanan dan pemulihan dana secara automatik – institusi kewangan dapat menjejak dana yang dicuri merentasi sistem kewangan secara menyeluruh dengan pantas melalui pengesanan automatik. Proses ini dapat menghalang pemindahan selanjutnya dan meningkatkan kebarangkalian dana dapat dikembalikan.
  2. Perkongsian maklumat dan kerjasama industri yang lebih berkesan –institusi kewangan dapat berkongsi maklumat dan risikan mengenai kejadian penipuan dengan lebih berkesan.
  3. Penilaian akaun keldai berasaskan data – NFP disokong oleh data akaun keldai yang berwibawa (credible) yang dapat memudahkan proses pengenalpastian, penilaian dan pemantauan akaun keldai dengan lebih baik.

Seiring dengan NFP, industri kewangan turut memperkenalkan prosedur pelaporan dan pengendalian akaun keldai. Prosedur ini meningkatkan lagi kualiti data yang digunakan oleh industri melalui penyelarasan klasifikasi akaun keldai. Prosedur ini juga menyeragamkan pendekatan industri dalam pengendalian akaun keldai bagi memastikan mangsa yang terjejas akibat aktiviti akaun keldai boleh terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan asas.

Langkah-langkah ini melengkapi pendekatan pelbagai serampang BNM untuk membanteras penipuan kewangan. Hal ini termasuk arahan terbaru BNM kepada institusi kewangan supaya memastikan mangsa penipuan perbankan dalam talian dilayan dengan adil. Arahan ini antaranya mewajibkan institusi kewangan untuk memastikan proses siasatan kes penipuan kewangan yang lebih mantap dengan keperluan ketelusan dan penzahiran yang juga diperkukuh. Dasar ini juga menekankan keperluan tanggungjawab bersama dalam kes-kes yang terdapat bukti jelas berhubung dengan kelalaian pada pihak institusi kewangan dan juga kecuaian pada pihak mangsa. Pendekatan ini memastikan bank-bank sentiasa berusaha mempertingkatkan langkah kawalan penipuan sambil mengingatkan pelanggan untuk terus berwaspada bagi melindungi diri mereka daripada penipuan kewangan.

Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Usaha bersepadu, dedikasi dan kerjasama yang melibatkan sektor kewangan dan agensi penguat kuasa undang-undang mesti diteruskan, seiring dengan momentum yang telah kita capai selama ini. Memastikan masa depan digital yang selamat dan terjamin adalah penting untuk mengangkat status negara kita seperti yang dihasratkan di bawah kerangka Ekonomi Madani.”

Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Menerusi NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh atau end-to-end bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri, serta membolehkan perkongsian amaran dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil.”

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti halaman Facebook Amaran Scam (facebook.com/amaranpenipuan) atau laman sesawang #JanganKenaScam (jangankenascam.com) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penipuan kewangan. Mereka yang telah menjadi mangsa penipuan kewangan perlu menghubungi institusi kewangan mereka atau NSRC melalui talian 997 dengan segera.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga telah melancarkan pameran seni ‘Batik: Melirik Larik’ di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Pameran ini akan berlangsung mulai hari ini hingga 30 September 2024.

Bank Negara Malaysia
Payments Network Malaysia Sdn. Bhd.
Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM)
Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)
Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)

20 Ogos 2024

Diterbitkan oleh:
Jabatan Komunikasi Strategik, Tingkat 14, Blok B, Bangunan Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia.
E-mel: communications@bnm.gov.my
Web: www.bnm.gov.my

ABMConnect | Toll-free on 1300-88-9980

ABMConnect provides an avenue for consumers to clarify any doubts and verify information on conventional banking issues.