Industri Perbankan Lancarkan National Scam Awareness Campaign

October 30, 2022

Kuala Lumpur, Ahad, 30 Oktober 2022 – Industri perbankan, yang diwakili oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), hari ini telah melancarkan National Scam Awareness Campaign. Pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Marzunisham Omar, Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, Dato’ Khairussaleh Ramli, Pengerusi ABM, Encik Mohd Muazzam Mohamed, Presiden AIBIM dan Encik Jay Khairil Jeremy Abdullah, Naib Pengerusi ADFIM.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, industri perbankan telah mencipta satu logo untuk membantu orang ramai mengingati 3 langkah mudah, yang juga dikenali sebagai peraturan 3 saat iaitu AWAS, FIKIR, BLOK (atau STOP, THINK, BLOCK dalam Bahasa Inggeris), apabila mereka menerima sebarang panggilan, mesej atau e-mel daripada pihak yang tidak dikenali.  Bersama dengan cogan kata (tagline) “Ingat 3 Saat OK” dan hashtag #JanganKenaScam, industri perbankan menggesa orang ramai untuk mengingati peraturan 3 saat tersebut agar kekal selamat dan tidak menjadi mangsa penipuan.

National Scam Awareness Campaign ini, yang akan dimulakan pada bulan November, adalah kesinambungan usaha industri perbankan untuk memerangi penipuan serta mendidik pengguna mengenai penipuan sambil berkongsi petua-petua  mudah untuk kekal selamat dalam talian. Kempen ini melengkapkan 5 langkah pencegahan tambahan yang akan diambil oleh bank-bank untuk memerangi penipuan kewangan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar kami yang bertarikh 27 September 2022.

Semua pihak (termasuk bank-bank, agensi penguatkuasaan dan orang ramai) mesti memainkan peranan masing-masing untuk memerangi penipuan. Logo dan hashtag itu akan digunapakai oleh semua bank-bank ke arah satu kempen kebangsaan yang padu dan tersasar bagi memastikan orang ramai akan sentiasa dimaklumkan dan dilengkapi dengan maklumat dan kesedaran yang diperlukan tentang jenis-jenis modus operandi yang digunakan oleh penipu-penipu serta amalan-amalan terbaik untuk memastikan diri mereka selamat dalam talian. Ini akan menyukarkan penipu untuk menjerat mangsa.

Sekiranya seseorang menjadi mangsa penipuan, mereka haruslah segera menghubungi bank mereka dan membuat laporan polis bagi memudahkan siasatan. Senarai nombor-nombor untuk dihubungi bagi bank-bank ahli ABM bagi melaporkan kes penipuan boleh diperolehi daripada laman sesawang ABM, https://www.abm.org.my/directory.

Orang ramai boleh merujuk kepada laman sesawang dan halaman media sosial bank masing-masing, laman sesawang (https://www.abm.org.my/safe-online-banking) dan halaman Instagram ABM (@abm.org.my), laman sesawang (www.aibim.com) dan media sosial AIBIM (@_aibim), serta halaman Amaran Scam Facebook Bank Negara Malaysia (https://www.facebook.com/amaranpenipuan) untuk maklumat terbaru tentang taktik-taktik penipuan terkini dan amalan kebersihan siber yang penting untuk melindungi diri mereka daripada penipuan.

ABMConnect | Toll-free on 1300-88-9980

ABMConnect provides an avenue for consumers to clarify any doubts and verify information on conventional banking issues.