Kenyataan media bersama oleh Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), dan Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 — Bermula 1 Julai 2026, para pelanggan bank di Malaysia tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank melalui Mesin Juruwang Automatik (ATM) dan Mesin Kitar Semula Pintar (SRM).
Melalui inisiatif ini, rakyat Malaysia yang memiliki kad debit boleh membuat pengeluaran tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, tanpa sebarang caj tambahan dan tanpa had bilangan transaksi. Pengecualian caj ini hanya terpakai kepada ATM dan SRM yang dikendalikan oleh institusi perbankan di Malaysia.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam memastikan perkhidmatan kewangan kekal mudah diakses, inklusif dan berpatutan untuk semua lapisan masyarakat.
Memudahkan Akses Kepada Perkhidmatan Perbankan untuk Rakyat
Industri perbankan memahami bahawa wang tunai masih memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia. Justeru, pengecualian caj pengeluaran tunai antara bank ini merupakan satu langkah yang dapat meningkatkan kemudahan dan akses pelanggan kepada perkhidmatan perbankan, selain membantu mengurangkan kos urus niaga harian yang ditanggung oleh pengguna.
Inisiatif ini turut mencerminkan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan, praktikal dan inklusif, selaras dengan keperluan masyarakat yang pelbagai. Dalam masa yang sama, industri perbankan terus menyaksikan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai yang semakin diterima secara meluas oleh rakyat Malaysia.
Seiring dengan aspirasi negara ke arah ekonomi digital, bank-bank akan terus memperkukuh ekosistem pembayaran digital yang selamat, cekap dan mudah digunakan bagi memenuhi keperluan transaksi harian pengguna. Pada masa yang sama, pelanggan akan terus diberi kebebasan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan dan gaya hidup masing-masing.
Industri perbankan kekal komited untuk memperluas keterangkuman kewangan serta meningkatkan pengalaman perbankan yang lebih mudah, selamat dan lancar untuk seluruh rakyat Malaysia.