Pada tahun 2025, bank-bank secara kolektif berjaya menyekat transaksi penipuan dan transaksi mencurigakan bernilai sebanyak RM1.19 bilion
Hari ini, bank-bank di Malaysia telah mengiktiraf 68 kakitangan bank yang cemerlang atas kewaspadaan dan dedikasi mereka dalam melindungi pelanggan daripada penipuan kewangan di Acara Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026. Secara kolektif, individu-individu ini telah membantu mencegah kerugian akibat transaksi penipuan bernilai lebih RM139 juta pada tahun 2025 melalui usaha mereka dalam mengenal pasti transaksi mencurigakan, intervensi dalam kes-kes berpotensi scam, serta melindungi pelanggan daripada kerugian kewangan.
Acara Penghargaan Wira Bank, yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya, merupakan sebahagian daripada kempen #JanganKenaScam, sebuah inisiatif kesedaran penipuan di seluruh negara yang dilancarkan pada tahun 2023 oleh Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM). Dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), acara ini menekankan kerjasama berterusan antara industri perbankan dan pihak penguatkuasaan undang-undang dalam memerangi penipuan kewangan melalui usaha pencegahan bersepadu, perkongsian ilmu, serta pendidikan awam.
Syed Ahmad Taufik Albar, Pengerusi bagi Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank memuji dedikasi dan kewaspadaan kakitangan bank di seluruh industri yang terus memainkan peranan penting dalam melindungi pelanggan daripada penipuan kewangan. “Sebagai petugas dalam memerangi jenayah kewangan, tindakan pantas dan komitmen mereka amat penting dalam mengesan aktiviti mencurigakan serta menghalang transaksi penipuan sebelum kerugian yang lebih besar berlaku.”
“Usaha mereka, bersama pelbagai langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh bank dan institusi kewangan, telah menyumbang kepada peningkatan 46% dalam percubaan transaksi penipuan yang berjaya disekat pada tahun 2025 berbanding 2024. Jumlah nilai transaksi penipuan yang berjaya dicegah juga meningkat kepada RM1.19 bilion, iaitu peningkatan tiga kali ganda tahun ke tahun, mencerminkan komitmen berterusan industri dalam memperkukuh pencegahan penipuan dalam landskap scam yang semakin canggih,” tambah beliau.
Komisioner Polis, Dato’ Rusdi bin Mohd Isa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berkata, “PDRM amat menghargai kerjasama erat serta sokongan berterusan daripada industri perbankan dalam memerangi jenayah komersil dan penipuan. Melalui kerjasama rapat dan perkongsian maklumat, bank serta agensi penguatkuasaan undang-undang telah memperkukuh usaha dalam melindungi orang ramai daripada ancaman scam yang sentiasa berkembang.”
Setakat ini, bank dan institusi kewangan telah berjaya mencapai hasil berikut melalui pelaksanaan inisiatif anti-scam utama dan penambahbaikan keselamatan, termasuk:
Di samping itu, beberapa bank telah memperkenalkan alat keselamatan layan diri yang membolehkan pelanggan memantau peranti, sesi serta aktiviti log masuk bagi meningkatkan keselamatan dan kesedaran akaun. Penambahbaikan sistem ini turut disokong oleh usaha pendidikan kesedaran keselamatan siber yang berterusan, khususnya untuk PKS, bagi membantu mereka lebih mengenali serta melindungi diri daripada risiko phishing dan penipuan yang semakin berkembang dan canggih.
Sepanjang kempen #JanganKenaScam, industri perbankan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran yang bertujuan melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk melindungi diri daripada penipuan. Kempen ini bertujuan meningkatkan literasi penipuan serta menggalakkan pelanggan agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan kewangan.
Seramai 68 kakitangan bank daripada 14 buah bank telah diiktiraf pada hari ini di Acara Penghargaan Wira Bank. Bank-bank yang terlibat termasuk Agrobank, Alliance Bank, AmBank, Bank of China, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, CIMB, HSBC, Maybank, OCBC, Public Bank, RHB dan UOB.
