Alliance Bank, MGTC jalin kerjasama bantu perniagaan lebih mapan | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank, MGTC jalin kerjasama bantu perniagaan lebih mapan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. -  Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) menandatangani Memorandum Kerjasama selama tiga tahun dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) untuk membantu perniagaan beralih ke arah amalan perniagaan yang lebih mapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, menerusi Memorandum Kerjasama tersebut, Alliance Bank dan MGTC akan mempromosikan Program Membimbing dan Membangunkan PKS Hijau kepada para pelanggan yang meliputi latihan, persijilan hijau dan peluang pemadanan perniagaan.

 

"Alliance Bank dan MGTC akan membantu PKS untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang peluang pertumbuhan bagi perniagaan yang mematuhi Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance, ESG). 

 

"Program ini bertujuan membantu PKS menyusun hala tuju kemapanan mereka menerusi rundingan, sesi latihan, taklimat dan bengkel," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, MGTC juga akan membantu PKS yang menjadi pembekal penyelesaian ESG untuk mendapatkan persijilan MyHIJAU dan disenaraikan dalam Direktori MyHIJAU yang merupakan sumber dalam talian bagi produk dan perkhidmatan hijau yang disahkan. 

 

Katanya, pada masa yang sama, perniagaan ini akan disenaraikan dalam portal BizSmart® Solution Alliance Bank. 

 

“Alliance Bank sentiasa memberi tumpuan untuk membantu menjayakan perniagaan PKS dan kerjasama dengan MGTC ini, menyokong komitmen kami untuk membantu pemilik perniagaan menerima amalan dan inovasi ESG bagi mengurangkan jejak karbon mereka,” katanya.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, MGTC sentiasa berusaha untuk memupuk gaya hidup hijau melalui program publisiti dan kesedaran dalam membentuk kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor swasta pada platform berskala global

 

“MGTC sebagai sebuah agensi kerajaan berperanan untuk mengarusperdanakan Ekonomi Hijau melalui program pengembangan produk dan perkhidmatan hijau, memacu tindakan mengurangkan kesan perubahan iklim seperti menyokong usaha kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, program bandar rendah karbon dan mobiliti karbon rendah. 

 

"Oleh yang demikian, kami mahu meneruskan usaha sama untuk membina perkongsian jangka panjang dan strategik antara MGTC dan Alliance Bank,” katanya. -DagangNews.com